Profil Sekolah

LATAR BELAKANG SEKOLAH
SMK KHIR JOHARI SUNGAI SUMUN


Pada tahun 1952, sebuah sekolah telah ditubuhkan di bawah jagaan Encik Mac Kenzi dan dikenali dengan nama Government English School. Bangunan ini terletak berdekatan  dengan kemudahan-kemudahan asas seperti jalan raya, sekolah rendah, pejabat pos dan klinik. Pada mulanya sekolah tersebut terletak di Hutan Melintang. Disebabkan kedudukan sekolah itu yang jauh dari rumah pelajar-pelajarnya, maka sekolah itu telah dipindahkan ke batu 17, Sungai Sumun dengan nama Government English School Sungai Sumun pada tahun 1954. Bangunannya ditambah pada tahun 1956 berikutan bilangan pelajarnya yang semakin bertambah. Sebanyak lapan buah bilik darjah, sebuah pejabat dan dua buah rumah guru didirikan. Pada ketika itu, para pelajarnya belajar dalam aliran Inggeris.

            Pada tahun 1961, kelas menengah aliran Melayu telah ditubuhkan. Seramai 21 orang pelajar telah mengambil peperiksaan Seberang Laut (OSC) dan Sijil Persekutuan Tanah Melayu  (KMC) pada tahun 1962. Manakala pada tahun 1964 pula sekolah ini telah ditubuhkan menjadi dua bahagian iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (1) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (1) yang telah ditubukan pada bulan  Januari  tahun itu. Pada bulan Mac tahun yang sama bangunan sekolah telah dibina di bawah Rancangan  Pembangunan  Malaysia Pertama. Bangunan tersebut mempunyai 32 buah bilik darjah, empat buah bilik seni perusahaan, empat buah rumah guru dan dua buah kantin. Encik T. Navaratnam telah dilantik menjadi guru besar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (1), Sungai Sumun. Pada bulan April 1965 semua pelajar aliran Melayu dan lanjutan dipindahkan ke bangunan baru. Pada ketika itu, Encik T. Navaratnam memegang jawatan sebagai pengetua. Beliau menamatkan tugasnya pada 30 April 1966 dan tempat beliau digantikan oleh Encik Ismail bin Mohd Hashim. Pada tahun itu juga perpustakaan sekolah telah ditubuhkan.

            Setahun kemudian, nama sekolah telah digantikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Nama sekolah itu diambil bersempena nama Menteri Pelajaran pada ketika itu iaitu Yang Berhormat Encik Muhamed Khir Johari yang telah merasmikan sekolah ini pada 6 Mei 1967. Menjelang 1970 pula, Encik Abdul Rahman b. Yeop menggantikan Encik Ismail bin Mohd Hashim yang bertukar ke Ipoh. Manakalah  pada tahun 1973, Encik Pancalinggam telah menjalankan tugas sebagai guru besar sebelum Encik Arif Osman bertugas menggantikan tempat Encik Abdul Rahman b, Yeop.  Banyak pembaharuan telah berlaku pada  tahun 1975.  Antaranya ialah pembinaan 12 buah bilik   darjah  dan tiga buah makmal sains yang baru. Bilangan pelajar dan guru meningkat pada tahun 1976 iaitu masing-masing mencatatkan jumlah 2144 orang pelajar dan 78 orang guru. Berikutan keadaan itu, pihak sekolah telah menetapkan 34 buah kelas untuk sesi pagi dan selebihnya sebanyak 19 buah kelas pula untuk sesi petang. Pada tahun 1977, Encik Arif bin Osman telah digantikan oleh Encik Wahid Hussein sebagai pengetua yang baru. Pada ketika itu, bilik perpustakaan sekolah telah ditambah kepada dua buah bilik lagi yang menjadikan tiga buah bilik dan dilengkapi dengan penghawa dingin pada tahun 1978.

            Encik Pancalinggam selaku Penolong Kanan telah bersara dan tempatntya telah digantikan oleh Encik Sharuddin bin Atan pada tahun 1979. Pada tahun 1981, Tuan Haji Hussien bin Ibrahim telah menggantikan tempat Encik Abdul Wahib bin Hussein yang ditukarkan. Pada tahun 1983, bangunan baru asrama dan padang sekolah mula digunakan. Padang sekolah mula digunakan bersempena Sukan Tahunan kali ke-28. Pada tahun 1986, Tuan Haji Hussein bin Ibrahim telah digantikan oleh dengan Encik Ganti Shaari bin Alang Ahmad.. Pada masa itu, empat buah bilik darjah dan bengkel kemahiran hidup telah ditambah. Beliau telah bertukar tempat bertugas pada tahun 1994 dan tugasnya sebagai pengetua sekolah digantikan oleh Penolong Kanan sehingga tahun 1999 iaitu Puan Hajjah Siti Maimunah binti Haji Mohd Noor sebagai pengetua yang baru. Selain itu, jawatan Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan ketua-ketua bidang diwujudkan. Pada tahun 2003, Puan Hajah Maimunah bt. Haji Mohd Noor berpindah pula ke Sekolah Raja Muda Musa, Teluk Intan.

            Tempat beliau sebagai pengetua sekolah telah digantikan oleh Encik Muhd Suod bin Mat Thani pada pertengahan 2003. Sewaktu pentadbiran Encik Muhd Suod, beliau telah memperkenalkan motto baru sekolah iaitu ‘Gemilang Terbilang  Menjelang 2008’. JAUHARI  pula merupakan akronim rasmi yang telah  diperkenalkan oleh Encik Muhd Suod bin Mat Thani  untuk mewakili warga SMK Khir Kohari Sungai Sumun. Pada bulan Julai 2007, Encik Muhd Suod bin Mat Thani telah mengakhiri jawatannya sebagai Pengetua kerana telah dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak.

            Mulai Julai 2007, Encik Rafiai bin Mat Silah telah mengambil alih  jawatan Pengetua yang telah dikosongkan. Dalam tempoh setahun setengah ini, beliau banyak menekankan aspek peningkatan akademik dan kerjasama berpasukan melalui slogan ‘One Team One Aim’. Selain itu, pada penghujung tahun 2007, beberapa bangunan lama seperti dua buah makmal sains, bilik ERT, bangunan rumah guru, gelanggang Bola Tampar dan gelanggang serba guna dirobohkan untuk digantikan dengan dua blok bangunan tiga tingkat merangkumi 12 buah kelas, tiga buah makmal sains, dua buah bilik guru, sebuah pejabat dan beberapa bilik khas. Pada bulan November 2010 Encik Rafiai bin Mat Silah telah menamatkan perkhidmatanya kerana bersara wajib.

            Kekosongan jawatan Pengetua telah diisi oleh Puan Hajah Noraini binti Jaafar yang mempunyai visi dan misi tersendiri untuk kecemerlangan Jauhari bermula pada November 2010. Pelbagai perancangan telah dibentuk untuk memantapkan lagi prestasi guru dan pelajar sekolah ini bagi mencapai kejayaan yang menyeluruh. Pada tahun 2011 ini juga projek menaik taraf makmal sains sekolah ini juga sedang dijalankan. Harapan yang amat besar agar dengan terbinanya makmal baru yang dilengkapi pelbagai kemudahan dapat melahirkan warga Jauhari yang lebih efisyen.